sampai bila???





Masa muda Fudhail bin Iyadh penuh dengan sisi-sisi gelap. Dia sangat terkenal dengan perbuatan serta akhlak yang buruk. Malam-malamnya dipenuhi dengan aktiviti bergaduh, bermabuk-mabuk, dan judi.

Kesemuanya yang ia lakukan langsung menjatuhkan kehormatan dirinya sebagai seorang muslim.

Kerana sudah terbiasa, dia tak merasa pun apa yang dilakukannya itu salah.

Fudhail bin Iyadh juga gemar mengintai perempuan. Mana-mana perempuan yang lalu-lalang mesti saja mahu dinikmati dengan pandangan yang kotor. Bahkan sanggup saja dia kalau dia perlu bersusah payah, memanjat dinding kediaman semata-mata untuk memuaskan matanya.

Namun satu peristiwa telah menitik noktahkan zaman akhlak buruknya.

Ketika dia sedang berjalan-jalan lalu terdengar suara merdu wanita mendendangkan syair. Fikirannya terus membayangkan sumber suara itu yang semestinya cantik mempesona untuk dinikmati.

Dengan kesungguhan dan bersusah, dia memanjat dinding kediaman untuk mengintai arah datang suara tersebut sehingga tak ada lagi penghalang untuk suara itu sampai ketelinganya.

Nah, sekali dengar dendangan suara itu, dia bagaikan dipanah petir. Bukan lagu, atau syair yang didengarkan, tetapi lantunan ayat-ayat suci al-Quran yang jelas memukul telinganya tepat terus menjunam kehati.

"Belumkah datang masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk hati mereka kerana mengingati Allah dan kebenaran yang diturunkan-Nya. Dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang-orang yang telah menerima kitab sebelum ini, kemudian mereka melalui masa yang panjang (bertangguh) sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi fasiq" Al-Hadid:16

Layu terus kerakusan nafsunya serentak mendengar ayat tersebut. Tunduk mata, lemah tubuh, hancur perasaan..

Terngiang-ngiang ditelinganya ayat yang baru didengari tadi.

Ia merintih pada dirinya "Belumkah datang masanya untukku.. belumkah datang masanya untukku.."

Bagaikan pertama kali mendengar ayat itu, bahkan dia rasakan seumpama ayat itu turun khusus untuk dirinya. Lalu ia menuruni dinding serentak dengan turunnya hidayah Allah pada hatinya.

Fudhail bin Iyadh tidak mensia-siakan hidayah yang baru dicampakkan pada dirinya. Dia terus bertaubat dan menjadi seorang yang kuat beribadah sehinggakan dikenali sebagai 'Abid alharamain - Orang yang beribadah di dua tanah suci.

Dia menjadi seorang alim yang nasihatnya sentiasa saja menyentuh hati orang yang mendengarnya.